Wednesday 8 February 2012

PLASTIK DARI BULU AYAM

PERCAYA atau tidak suatu hari nanti barangan plastik atau polimer akan dihasilkan dari bulu ayam. Penyelidik dari University of Nebraska, Lincoln telah menemui kaedah baru menghasilkan plastik dari bulu ayam. Bulu ayam mempunyai sejenis bahan yang kaya dengan protein dikenali sebagai keratin. Keratin adalah sejenis protein yang mempunyai sifat mekanikal yang kuat dan berketahanan yang tinggi yang juga terdapat pada paruh dan tanduk haiwan.
Untuk menghasilkan plastik ini, bulu ayam akan dibersihkan terlebih dahulu sebelum dikisar halus menjadi debu. Kemudian sejenis bahan kimia dicampurkan dan diikuti dengan proses pempolimeran. Proses ini akan menyebabkan molekul keratin bergabung dan membentuk rantaian panjang polimer.
Menurut Dr. Yang, penyelidik dari  Institute of Agriculture and Natural Resources at the University of Nebraska-Lincoln,plastik yang diperbuat daripada bulu ayam tahan suhu tinggi, kuat, berketahanan tinggi serta tidak telap air. Lebih penting ia adalah sejenis plastik yang boleh dikitar semula seperti termoplastik berasaskan keratin yang lain. Plastik jenis baru ini boleh digunakan untuk menghasilkan peralatan dapur seperti pinggan mangkuk, cawan dan juga perkakasan perabot. Ujian mendapati, plastik ini dapat dileburkan pada suhu 170'C.
Penemuan plastik baru ini merupakan satu berita menggembirakan bagi pencinta alam sekitar. Kebanyakan plastik yang digunakan sekarang diperbuat daripada bahan petroleum atau bahan bakar fosil yang tidak boleh atau memakan masa yang lama sehingga ratusan tahun untuk terbiodegradasi. Plastik yang diperbuat daripada bulu ayam ini adalah sebaliknya dan perlahan-lahan akan larut-lesap secara semulajadi.
Berdasarkan fakta, lebih satu bilion kilogram bulu-bulu ayam dibuang ke tapak pelupusan sampah setiap tahun di Amerika Syarikat dan ia mencemarkan alam sekitar. Penemuan baru penghasilan bio-plastik dari bulu ayam ini, dijangka dapat mengurangkan kebergantungan terhadap produk berasaskan petroleum. Dan lebih penting ia mesra alam.

Sumber : therecycletimes.comGambar : ublcorp.com

No comments:

Post a Comment